Tuesday, July 22, 2014
   
TEXT_SIZE

Berita Jabatan 2012

1000 keping poster dicetak dan diserahkan sempena HUT ABDB Ke-51

PEMANGKU Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Penyerahan Poster Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) Ke-51 di Markas Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).(Foto : Azmah Hj. Ahad)TIMBALAN Pemerintah TLDB, Kolonel (L) Haji Aznan bin Haji Julaihi menyampaikan ucapan penghargaan pada Majlis Penyerahan Poster Sambutan HUT ABDB Ke-51 di Markas TLDB. (Foto : Azmah Hj. Ahad)MUARA, Rabu 16 Mei. - Dalam meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) Ke-51 pada tahun ini, satu Majlis Penyerahan Poster telah diadakan di Markas Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), di sini.

Sehubungan dengan perkara tersebut, sebanyak 1000 keping poster telah dicetak oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama dari ABDB.

Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata Jabatan Penerangan sebagai salah satu agensi kerajaan yang berfungsi untuk menyebarluaskan aktiviti kerajaan, berperanan penting untuk memastikan segenap lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam menerima dan mendapat maklumat yang sahih, tepat, terkini dan relevan.

Ini tambahnya adalah selaras dengan visi jabatan berkenaan iaitu 'Ke Arah Masyarakat Bermaklumat' yang mana sententunya akan dapat mengukuhkan lagi perpaduan serta kesejahteraan bangsa dan negara.


Menyentuh tentang penerbitan poster-poster tersebut, Dayang Hajah Noorashidah berkata ianya tidak syak lagi akan dapat memberikan publisiti-publisiti dan promosi yang luas mengenai acara ini kepada orang ramai dengan lebih berkesan dan akan dapat sama-sama mengetahui sambutan yang akan diadakan dan dapat merasai kemeriahannya nanti.

PEMANGKU Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah menyerahkan poster kepada Timbalan Pemerintah TLDB, Kolonel (L) Haji Aznan Pengerusi Sambutan HUT ABDB Ke-51 di Markas TLDB. (Foto : Azmah Hj. Ahad)Sementara itu dalam ucapan penghargaan Timbalan Pemerintah TLDB, Kolonel (L) Haji Aznan bin Haji Julaihi menjelaskan tema Sambutan HUT ABDB pada tahun ini iaitu 'Mempertahankan Negaraku Brunei Darussalam' adalah selaras dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan Ke-28 iaitu 'Negaraku Brunei Darussalam' yang sewajarnya merupakan suatu aspirasi yang sangat relevan kepada ABDB.


Beliau yang juga selaku Pengerusi Sambutan HUT ABDB Ke-51 menjelaskan, tema tersebut juga dijadikan tekad dan iltizam kepada semua warga ABDB selaku rakyat Negara Brunei Darussalam untuk terus berdiri mendukung dan menanai tanggungjawabnya, mempertahankan negara untuk memastikan keamanan, kesejahteraan, kemakmuran serta kedaulatan negara Melayu Islam Beraja agar dihindari dari sebarang anasir-anasir negatif.

TIMBALAN Pemerintah TLDB, Kolonel (L) Haji Aznan menyerahkan poster kepada salah seorang pegawai di Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri. (Foto : Azmah Hj. Ahad)Poster-poster hari ulang tahun kemudiannya diserahkan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan kepada Pengerusi Sambutan HUT ABDB Ke-51, diikuti dengan penyerahan poster kepada wakil Unit Angkatan Tentera, Pegawai-pegawai Perhubungan Awam dan wakil-wakil dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.


Pembarigaan poster-poster ini bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat dan penduduk di negara ini bahawa Sambutan HUT ABDB Ke-51 akan diraikan di Markas TLDB di Muara pada 31 Mei 2012.

(Oleh : Haniza Abdul Latif)

 

Orang Brunei hidup bersendikan MIB, pantang menderhaka kepada raja

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned ketika hadir di Seminar Melayu Islam Beraja Sempena Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-60 Tahun  di Daerah Tutong.  Foto : Hernie Suliana Hj. OthmanTUTONG, Isnin, 14 Mei. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned berkata Negara Brunei Darussalam telah ditakdirkan sebagai sebuah negara Melayu yang mewarisi nilai-nilai kemelayuan Brunei, ini terbukti di dalam sejarahnya dengan keterbilangan nilai-nilai teras bangsa Melayu Brunei yang mengutamakan sifat-sifat kehidupan yang harmonis, bersopan -santun, bertatasusila dan beradat resam.

"Bagi negara kita Negara Brunei Darussalam asas kita ialah konsep Melayu Islam Beraja (MIB) yang kita warisi turun-temurun di dalam kesabatian naluri kehidupan orang-orang Brunei," jelasnya.

Dato Paduka berucap demikian di Seminar Melayu Islam Beraja bertemakan 'Melayu Islam Beraja Asas Perpaduan' sempena Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-60 Tahun anjuran Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja kelolaan Jabatan Penerangan yang berlangsung pagi tadi di Dewan Kompleks Seri Kenangan di sini.

Nilai-nilai katanya, telah membuktikan kelangsungan orang-orang Melayu Brunei sebagai bangsa yang hormat, berpegang teguh kepada peraturan dan adat resam, ketakutan kuasa Allah Subhanahu Wata'ala dan pantang menderhaka kepada raja, inilah nilai-nilai yang menjadikan bangsa Melayu Brunei dapat menjalani kehidupan yang aman dan bersatu padu turun-temurun bagi sekian lamanya.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita orang-orang Brunei untuk mempastikan kelangsungan nilai-nilai murni Melayu Brunei untuk tidak ditelan zaman dan tidak dicawirkan oleh apa jua anasir," tegasnya.

Menyentuh mengenai perpaduan pula beliau menjelaskan, perpaduan adalah perkara utama dan mutlak untuk keamanan dan kemakmuran iaitu di antara prasyarat penting untuk mencapai kesejahteraan, perpaduan ini jangan diambil ringan.

TIMBALAN Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab ketika menyampaikan ucapan perasmian. Foto : Hernie Suliana Hj. OthmanMenurutnya, ia adalah tuntutan mutlak dan fardu di dalam kehidupan bagi setiap anak watan yang cintakan keamanan dan kemajuan tulen di atas bumi tumpah darah yang tercinta ini.

Tanggungjawab kita menurutnya, ialah untuk tidak membiarkan apapun jua bentuk anasir yang boleh membawa kepada perpecahan, inilah sebabnya setiap asas perpaduan bagi kelangsungan kewujudan sesebuah negara dengan aman dan sejahtera.

Seterusnya beliau menyatakan dalam konteks bernegara, nilai-nilai murni Melayu Brunei ini bukanlah milik ekslusif orang-orang Melayu Brunei sahaja, malahan ianya untuk dimiliki oleh semua orang Brunei tidak mengira keturunan kerana ia sebahagian dari konsep negara.

Negara ini tambahnya, juga telah ditakdirkan sebagai sebuah negara Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara dan mengasaskan amalan cara hidup lengkap negara di atas nilai-nilai Islam.

"Islam itu, melalui nilai-nilainya yang universal boleh diterima oleh semua, menjamin keadilan, keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan semua insan, Islam berteraskan kehidupan yang bermoral tinggi, justeru itu Islam mensyiarkan kemuliaan atau kebaikan dan sangat membenci kemungkaran dan kejahatan," ucapnya.

Kita semua jelasnya, bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan nilai-nilai Islam bagi kesejahteraan semua ini dari diganggu gugat oleh anasir-anasir jahat.

Menurutnya lagi adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga keutuhan sistem beraja dan institusi-institusi di bawahnya yang sudah terbukti turun-temurun memberikan kesinambungan pemerintahan untuk keadilan dan kesejahteraan.

TIMBALAN Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab ketika sesi bergambar ramai. Foto : Hernie Suliana Hj. OthmanDari sudut mana pun jelasnya, konsep Melayu Islam Beraja itu benar-benar jitu sebagai teras perpaduan negara untuk menjamin, keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan.

"Oleh itu adalah amat penting rakyat dan penduduk negara ini mengetahui, memahami dan mengamalkan nilai-nilai di bawah konsep MIB yang diwarisi turun-temurun," tegasnya.

Beliau juga menjelaskan, rakyat dan penduduk negara ini yang cintakan keamanan perlu mempunyai kewaspadaan yang tinggi tentang pengaruh-pengaruh sosial dan politik yang tidak serasi dan sesuai dengan amalan kehidupan kita.

"Jangan kita mudah lupa daratan sehingga pengaruh-pengaruh yang bermotifkan kejahatan mudah mempengaruhi kita," terangnya.

Jelasnya lagi, orang-orang Brunei sementelahan generasi muda yang masih di dalam persekolahan perlu mempunyai ketahanan jati diri dan kewaspadaan tinggi untuk membina benteng-benteng pertahanan dari dipengaruhi oleh nilai-nilai songsang dan budaya kuning.

Anak-anak muda kita ujarnya lagi, perlu sentiasa sedar bahawa perjalanan kehidupan mereka adalah masih jauh ke hadapan.

"Jangan gara-gara tidak mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni perjalanan mereka awal terjebak ke lembah maksiat dan jenayah sehingga merosakkan masa hadapan dan peluang kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala," tambahnya.

Adalah amat penting katanya, anak-anak muda kita sebagai generasi pewaris mempunyai jati diri dan kefahaman yang mendalam mengenai nilai-nilai warisan di bawah konsep Melayu Islam Beraja.

Nilai-nilai inilah jelasnya yang akan sentiasa mengingatkan kita orang Brunei kita tidak akan melupakan asal usul kita, kita tetap dengan nilai-nilai murni Melayu Brunei cara hidup kita lengkap bersendikan nilai-nilai Islam iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah, kita mengangkat dan bernaung di bawah sistem beraja mendaulatkan raja sebagai pemimpin yang diredai Allah dan secara keturunan kita orang-orang Brunei pantang menderhaka kepada raja kita.

Oleh : Abdullah Asgar & Aryentty Haji Ariffin

   

600 keping poster diterbitkan barigakan Pelancaran Sekolah-sekolah Contoh

PENGARAH Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong ketika menyerahkan poster kepada Pemangku Pengarah Kenaziran, Jabatan Sekolah-Sekolah, Tan Lian Lian. (Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 April. - Dalam sama-sama membarigakan Majlis Pelancaran Sekolah-sekolah Contoh, Jabatan Penerangan petang tadi mengagihkan poster-poster kepada Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

Majlis Penyerahan yang berlangsung di ibu pejabat jabatan berkenaan, disempurnakan oleh Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong kepada Pemangku Pengarah Kenaziran, Jabatan Sekolah-Sekolah, Tan Lian Lian.

Sebanyak 600 keping poster diterbitkan oleh Jabatan Penerangan bagi Majlis Pelancaran tersebut yang dijangka akan berlangsung dalam bulan April ini.

Sekolah-sekolah Contoh antara lain diwujudkan bagi menyediakan satu sistem pembelajaran berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), di samping menggunakan dan mengambil amalam-amalan terbaik antarabangsa di dalam pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, ia juga untuk menghubung jalin penggunaan teknologi maklumat di dalam pengajaran dan pembelajaran dan menggalakkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam pendidikan.

(Oleh : Haniza Abdul Latif)

   

Majlis Kesyukuran Sempena 60 Tahun Penubuhan Jabatan Penerangan

TIMBALAN Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad bersama Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong semasa penyerahan sumbangan berbentuk alat pembesar suara kepada Imam Masjid Kampung Pulaie, Awang Haji Borhan bin Haji Damit dalam Majlis Kesyukuran sempena 60 tahun Penubuhan Jabatan Penerangan.BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Mac. – Jabatan Penerangan telah mengadakan Majlis Kesyukuran sempena 60 tahun Penubuhan Jabatan Penerangan yang berlangsung di Masjid Kampong Pulaie, di sini.

Majlis dimulai dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Awang Haji Borhan bin Haji Damit. Juga diadakan ialah membaca Surah Yaa Siin dan tahlil serta diselajurkan dengan penyerahan sumbangan berbentuk alat pembesar suara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad. Juga hadir ialah Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong. Turut hadir pada majlis tersebut, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Penerangan dan juga takmir masjid Kampung Pulaie.

Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 1952 untuk memberigakan maklumat dan penerangan kepada masyarakat di negara ini dan pada tahun ini genap 60 tahun usia penubuhannya.

(Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail)

   

Warga Jabatan Penerangan bertahlil

Oleh Haji Minor Absah

Warga Jabatan Penerangan yang menghadiri majlis berkenaan.BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April - Lebih daripada 50 pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, menyertai majlis membaca surah Yasin dan tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, hari ini.

Hadir menyertai majlis bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Jabatan Penerangan ke-60 itu ialah Pengarah Penerangan, Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Ihsan Media Permata - 6 April 2012

   

Kompleks baru Jabatan Penerangan siap 2014

PENYERAHAN kontrak antara Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong bersama Arkitek dari Jabatan Kerja Raya. (Foto :  Azmah Hj. Ahad)BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Mac. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri akan mempunyai kompleks bangunan baru bertempat di Jabatan Penerangan Berakas.

Majlis Penyerahan Tempat Bangunan Baru disempurnakan oleh Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Hadir bagi menyerahkan pelan tersebut wakil dari Arkitek Jabatan Kerja Raya dan Pengarah Urusan, Unicorp Sendirian Berhad.

Kompleks bangunan baru tersebut akan mempunyai enam tingkat dan dilengkapi dengan peralatan moden yang akan menempatkan beberapa bilik, dewan persidangan, bilik mesyuarat dan keperluan-keperluan jabatan.

Kontrak projek di tapak tanah seluas 1,066 meter persegi itu menelan belanja BND5.3 juta dan akan siap pada tahun 2014.

Kontrak projek dilaksanakan oleh Unicorp Sendirian Berhad, Setia Perunding (B) Sendirian Berhad dan Jurutera Perunding Awam Jentera dan Letrik.

(Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid - Pelita Brunei)

   

Page 3 of 3

Carian

Media Sosial

facebook twitter instagram
Facebook        
Twitter        
Instagram

Borang Media Hari Keputeraan 68

bannerharikeputeraan20141

Pautan

webmail
gems
gov
pelita_brunei
infofoto
harikebangsaan1
bilikpress
iklanjawatankosong1
pentarama

TALIAN PENTING

Jabatan Penerangan
Tel No: +673-238 3400
Fax No: +673-238 2242
E-mel: info.dept@information.gov.bn

Pelita Brunei
Tel No: +673-238 3941 / +673-238 3400
Fax No: +673-238 1004
E-mel: pelita.brunei@information.gov.bn / e.pelita@yahoo.com

Iklan @ Pelita Brunei
Tel No: +673-238 2891 / +673-238 2892
Fax No: +673-238 1004

Pegawai Perhubungan Awam
Tel No: +673-238 3400 ext 218 / +673-238 1997
Fax No: +673-238 1997

Sistem Pembesar Suara
Tel No: +673-238 3400 ext 216

Flag Counter

Flag counter